'Pulangkan wang bantuan kami
25 Oktober 2013
BATU CAVES - Akibat terbeban apabila bantuan kewangan dibekukan, 20 orang kurang upaya (OKU) membuat bantahan di hadapan pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gombak, kelmarin.
Walaupun berlaku sedikit ketegangan antara penerima bantuan dengan kakitangan JKM sewaktu perbincangan dilakukan, namun keadaan berjaya dikawal beberapa ketika selepas itu.
Mereka mendakwa JKM tidak menyalurkan bantuan selama tiga bulan menyebabkan mereka berhadapan kesukaran membiayai kos sara hidup, perubatan dan pengangkutan.
Menurut P Gurdip Kaur, 53, sambutan Deepavali tahun ini seolah-olah tidak bererti tanpa sumber kewangan untuk membuat persiapan.
"Saya memang perlukan bantuan RM300 itu untuk belanja hari-hari, untuk bayar bil. Apatah lagi saya dan suami yang juga OKU tidak bekerja.
“Saya tak faham kenapa ini berlaku, sebelum ini bantuan tersebut tidak pernah terganggu," katanya kepada Sinar Harian dengan nada sedih.
Menurut Gurdip, dia tidak perlukan peruntukan tambahan, cukuplah haknya yang dibekukan JKM sejak Julai lalu diberi semula.
Seorang lagi penerima bantuan, A Munusamy, 45, berkata, dia terpaksa berniaga makanan ringan menggunakan motosikal roda tiga untuk menampung perbelanjaan sekeluarga.
“Saya ada empat anak yang masih sekolah umur 9 hingga 16 tahun, isteri saya tidak bekerja.
“Sewa rumah RM450 sebulan, bantuan RM300 sebulan tidak cukup untuk bayar sewa. Saya terpaksa pinjam ah long,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden badan latihan dan hidup berdikari (ILTC), Francis Siva yang mengetuai bantahan itu menyifatkan, bantuan kepada mereka tidak sepatutnya dihentikan memandangkan kebanyakannya tidak bekerja.
“Sepatutnya jumlah bantuan ditingkatkan dari RM300 kepada RM500, bukan membebankan kami semata-mata untuk semakan semula dan mengambil masa yang terlalu lama.
“Nasib kami tidak dibela, kami pernah membawa perkara ini kepada pihak berkaitan, namun tiada sebarang maklum balas diterima,” katanya.
Hadir sama, sebuah pertubuhan Petpositive, S Jeyaraj yang mengharapkan supaya polisi agihan bantuan diubah untuk memudahkan penerima.
“Sebelum ini setiap bulan kami perlu ke JKM mengambil wang. Kenapa tidak dihantar ke rumah kerana kami semua tiada pengangkutan dan memerlukan kos untuk ke sini.
“Wang RM300 yang diterima terpaksa diagih untuk sewa teksi pula," katanya yang berharap wang bantuan diperolehi sebelum Deepavali.
Sementara itu, Pengarah JKM Selangor, Nik Omar Nik Ab Rahman berkata, pihaknya masih menyemak dakwaan yang dibuat.
“JKM perlu ikut prosedur dalam pemberian atau penamatan mana-mana kes bantuan supaya patuh arahan audit. Bagaimanapun JKM Selangor akan buat semakan semula dan bersedia membantu mereka sekiranya keadaan sosioekonomi mereka masih rendah dan perlu bantuan,” katanya
No comments:
Post a Comment