‘OKU tak kaya kalau ada TV'
BINCANG...Shahrizat mengadakan rundingan dengan golongan OKU yang mengadakan bantahan, semalam.
KUALA LUMPUR: Tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menarik semula bantuan kepada orang kurang upaya (OKU) hanya kerana di rumah mereka terdapat televisyen dan Astro disifatkan sebagai satu tindakan keterlaluan.
Berikutan itu, seramai 15 OKU berkumpul di hadapan pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini untuk bertemu Menterinya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi meluahkan rasa tidak berpuas hati mereka berhubung tindakan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, semua peserta bantahan terbabit memegang sepanduk sambil melaungkan ‘kami mahukan pembelaan...jangan tindas kami’ kira-kira 10 minit di hadapan bangunan itu sebelum bergerak masuk.
Pengerusi Persatuan Badan Latihan dan Hidup Berdikari, G Francis Siva, berkata pihaknya amat terkilan dengan tindakan itu dan ia satu diskriminasi kepada mereka yang tidak berupaya.
“Hanya kerana kami memiliki Astro dan televisyen mereka mahu menarik semula bantuan yang disalurkan selama ini. Ini adalah tindakan mengarut dan lebih kepada penindasan.
“Mereka sepatutnya berbincang dengan mana-mana wakil OKU terlebih dulu sebelum mengambil tindakan seumpama itu bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, golongan OKU hanya mampu mendapatkan maklumat dengan menonton televisyen manakala segelintir saja daripada mereka mempunyai Astro bertujuan untuk berhibur. “Semua orang tahu peralatan elektronik kini dijual pada harga murah dan saya yakin pemilikan televisyen dan Astro bukanlah menandakan kami berkemampuan ataupun hidup mewah.
Sebaliknya, kami juga manusia biasa dan punya naluri untuk berhibur dengan cara tersendiri.
“Lagipun fasiliti di negara ini tidak berpihak kepada golongan OKU untuk berhibur seperti menonton wayang. Inilah (televisyen dan Astro) satu-satunya ruang untuk kami berbuat demikian,” katanya.
Sharizat yang ditemui selepas perjumpaan dengan wakil OKU kira-kira lebih 20 minit berkata pihaknya mengalu-alukan maklum balas seumpama itu daripada orang ramai dan berjanji akan mengambil tindakan susulan.
“Tujuan kita bertindak demikian bukanlah untuk menindas mana-mana pihak sebaliknya dilakukan bagi memastikan ketelusan selain bersifat lebih adil kepada mereka yang lebih memerlukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment