23/02/2011
Peniaga OKU teraniaya
SS 24 – Seorang peniaga orang kurang upaya (OKU) di Pasar Besar Taman Megah SS 24 dekat sini tidak berpuas hati apabila gerainya dipindahkan ke tapak lain atas alasan yang tidak kukuh.
Peniaga terbabit, Cha Seah Nee, 39, berkata, tindakan ahli majlis mengubah tempatnya berniaga adalah tidak wajar.
“Seperti yang dipersetujui sejak awal lagi, tempat saya berniaga adalah di bahagian hadapan pasar ini bagi memudahkan saya keluar dan masuk berikutan kemudahan yang telah disediakan di sini,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu mendatangkan kesukaran kepadanya untuk berniaga kerana terpaksa memunggah barangan jualan agak jauh.
“Saya OKU, sepatutnya bahagian hadapan premis ini perlu dikhaskan kepada golongan seperti saya tetapi sejak dipindahkan ke bahagian belakang sejak seminggu yang lalu perniagaan saya agak merosot,” katanya ketika ditemui semalam pada sidang media di Pasar Taman Megah. Hadir sama, Persatuan Badan Latihan dan Hidup Berdikari, Francis Siva dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara, Dr Cheah Win Ying.
Selain Seah Nee, lima peniaga lain juga turut diarahkan untuk berpindah.
Peniaga bunga, Daisy Rani, 45, berkata, pada mesyuarat 20 Oktober 2010 lalu, dia dan peniaga lain tidak bersetuju untuk dipindahkan.
“Kami sudah menyatakan yang kami tidak bersetuju namun 28 Januari lalu lesen yang dikeluarkan kepada kami telah secara rasmi ditukarkan kepada nombor tapak niaga yang lain,” katanya.
Menurutnya, dia yang menghidap penyakit asma berharap perkara tersebut diberi perhatian sewajarnya oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Sementara itu, Ahli Majlis MBPJ Zon 13, Anthony Siva Balan berkata, beliau akan menghantar memorandum bantahan kepada Datuk Bandar Petaling Jaya berhubung perkara berkenaan.
“Perkara ini juga saya akan bawa ke mesyuarat penuh MBPJ akan datang kerana tindakan sedemikian seolah-olah mendiskriminasikan golongan OKU dan ia sangat melampau,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis MBPJ Zon 6, Tiew Way Keng ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berkenaan isu terbabit.
Sebaliknya beliau memberitahu akan mengadakan sidang media di Pasar Taman Megah pada hari ini.
”Saya tidak boleh jelaskannya di sini (telefon) kerana agak panjang, saya akan kemukakan bukti pada sidang media keesokan harinya,” katanya kepada Sinar Harian.
INDEPENDENT LIVING & TRAINING CENTRE MALAYSIA - (BADAN LATIHAN & HIDUP BERDIKARI MALAYSIA) LOT NO. 112, KG. SG. DUA TAMBAHAN, JALAN BATU ARANG, MUKIM RAWANG, 48000 RAWANG SELANGOR DARUL EHSAN TEL: 03-6093 6292 TEL/FAX: 03-6091 2531 Email: iltcmalaysia@gmail.com
No comments:
Post a Comment