PUTRAJAYA: Sekumpulan aktivis Orang Kurang Upaya (OKU) berkumpul di depan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat bagi menyatakan kekecewaan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa langsung tidak berusaha mendekati mereka.
Seorang aktivis OKU, Anthony Thanasayan berkata sikap pimpinan PH memalukan dan mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah melayan mereka sedemikian.
“Kami dari komuniti aktivis OKU yang telah lama memperjuangkan hak dan kemudahan untuk komuniti OKU di peringkat nasional melihat masalah yang berlaku ketika kerajaan lalu masih berulang.
“Malahan saya berani cakap langsung tidak ada apa-apa perubahan. BN tak macam ini, walaupun saya bukan penyokong BN,” katanya pada sidang, hari ini.
Anthony berkata, sebelum ini bekas menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil sanggup berjumpa dengan mereka walaupun ketika itu ada mesyuarat dengan pihak lain.
Katanya, ini berbeza dengan menteri dan timbalan Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Wan Azizah Wan Ismail dan Hannah Yeoh yang sehingga kini tidak mahu jumpa dengan pihak OKU.
“Kalau takut kepada kita, macam mana nak tolong. Tolong beritahu hari, dan kita akan jumpa dengan kamu.
“Jangan abaikan kami. Kami datang untuk jumpa menteri. Tetapi mereka tak nak jumpa kita. Memalukan,” katanya.
Ada dalam kalangan aktivis yang hadir menyatakan kekecewaan mereka selepas mendapati sebuah kereta tanpa pelekat khas OKU diletakkan di parkir OKU di bangunan tersebut.
Seramai 20 aktivis OKU berkumpul di kementerian tersebut hari ini bagi menyerahkan memorandum kepada Wan Azizah untuk meneliti beberapa perkara penting yang masih gagal ditangani kerajaan.
Presiden Badan Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia, G Francis Siva menyerahkan memorendum itu kepada wakil Wan Azizah yang enggan dinamakan.
Francis berkata beliau mahu kerajaan mengkaji semua dan mengemaskini polisi untuk OKU di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).
Beliau mencadangkan setiap OKU menerima minimum RM500 sebulan untuk menjaga kebajikan mereka.
Francis juga mempersoalkan tindakan proaktif JKM untuk menghubungi dan menyampaikan maklumat kepada golongan OKU terutama daripada golongan miskin.
Selain itu, beliau juga menggesa kemudahan bilik air OKU dihormati.
“Ini supaya hanya untuk OKU dan bukannya dikongsi untuk kegunaan komuniti lain yang bukan OKU,” katanya.
Beliau juga mahu pengurusan berterusan dan berkala dengan aktivis OKU setiap 2 bulan agar perancangan dan penambahbaikan program dapat dipantau secara berterusan.
Katanya, sambutan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa haruslah diadakan pada tarikh yang diiktiraf iaitu pada 3 Disember setiap tahun.
“Kami amat tidak berpuas hati apabila hari tersebut disambut bersama dengan program lain pada 2018,” katanya.
Francis juga mahu satu pelan pakej telekomunikasi khas untuk masyarakat OKU, selain mahu semua sekolah di negara ini mesra OKU.
“Kementerian-kementerian lain perlu menyediakan program khas untuk OKU,” katanya.
Beliau berkata sekiranya tiada perubahan lagi, beberapa aktivis OKU akan berkumpul di depan bangunan Parlimen pada sidang akan datang bagi menyatakan ketidakpuasan terhadap kerajaan.
No comments:
Post a Comment