Golongan kelainan upaya hilang elaun bulanan kerana ‘red tape’, kata NGO
PETALING JAYA: Golongan kelainan upaya mendakwa terhalang daripada menerima elaun bulanan serta bantuan akibat kerenah birokrasi (red tape) dan prosedur yang disifatkan mendiskriminasi.
Seorang lelaki kelainan upaya dari kumpulan B40 mengadu elaun bulanannya telah dipotong kerana beliau tidak tahu perlu mengisi borang penilaian tahunan untuk mengesahkan kelayakannya.
Menurut mereka, pegawai kebajikan kerajaan juga sepatutnya melakukan lawatan rumah ke rumah untuk membuat pemeriksaan terhadap golongan kurang upaya ini.
Lelaki itu, Kumar Nadeson, mendakwa elaun pekerja cacat (EPC) telah dibatalkan jabatan itu tanpa melakukan siasatan terlebih dahulu, kata Presiden Independent Living and Training Centre (ILTC) G Francis Siva kepada FMT.
Siva berkata, borang penilaian tahunan itu adalah prosedur operasi standard (SOP) diperkenalkan kerajaan beberapa tahun lalu untuk memastikan mereka yang menerima elaun memang layak, susulan laporan penipuan ketika itu.
Kini golongan kelainan upaya perlu mengisi borang itu secara tahunan untuk terus menerima bantuan.
Siva bagaimanapun berkata, masih ramai dalam komuniti itu tidak tahu mengenai keperluan ini kerana mendakwa tiada usaha untuk memaklumkan SOP berkenaan kepada penerima terbabit.
Siva berkata pegawai kebajikan kerajaan sepatutnya membuat lawatan rumah ke rumah golongan kelainan upaya ini untuk mengesahkan keadaan mereka.
Sambil menggelar SOP itu sebagai satu bentuk diskriminasi, beliau mendakwa pegawai jabatan kebajikan tidak melawat golongan kelainan upaya ini di rumah untuk mengesahkan keadaan mereka sebelum membatalkan elaun mereka.
“Kebanyakan mereka tidak mampu mengisi borang atau pergi ke pejabat. Tiada pengangkutan awam sesuai untuk mereka,” katanya dengan menambah tidak ramai mampu dari segi kewangan untuk menggunakan perkhidmatan teksi atau e-panggilan.
Beliau menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun supaya mengadakan pertemuan dengan pemegang taruh segera untuk mencapai penyelesaian.
FMT telah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mengulas isu ini.
Sementara itu, penolong pengarah eksekutif National Council for the Blind Malaysia Choo Siew Cheong berkata golongan kurang upaya penglihatan turut berdepan masalah sama, namun ‘tidak kuasa’ mengadukannya.
“Apa gunanya mengadu? Jika mengadu sekalipun belum tentu akan dapat (elaun) semula.”
Sebaliknya, beliau mencadangkan pembaharuan terhadap struktur elaun sedia ada.
“Sudah tiba masanya kita melihat sistem sedia ada secara jujur dan meneliti sama ada kita memang membantu memberi sokongan untuk golongan kelainan upaya,” katanya.
Menurutnya, kerajaan patut mempertimbangkan elaun untuk setiap orang kelainan upaya yang didaftarkan dengan jabatan kebajikan.
“Kerajaan patut menjimatkan wang dengan melantik pegawai untuk melawat rumah ke rumah bagi memastikan status kelayakan orang kelainan upaya terbabit.”
Tambahnya, kerajaan juga patut mengenal pasti kes paling memerlukan dan menyesuaikan jumlah elaun berdasarkan sejauh mana teruknya keadaan mereka.
No comments:
Post a Comment