Article From Utusan Malaysia
Friday, May 09, 2008
PARLIMEN
Parlimen kecoh OKU desak YB mohon maaf
KUALA LUMPUR 8 Mei - Lobi Parlimen yang biasanya sibuk tetapi terkawal menjadi kecoh apabila kira-kira 30 orang kurang upaya (OKU) dari Pertubuhan Rakyat Malaysia Menentang Diskriminasi OKU (MADD) mendesak dua ahli Parlimen memohon maaf atas kenyataan mereka di dalam Dewan Rakyat yang didakwa menghina golongan tersebut.
Lengkap dengan sepanduk, mereka berhimpun di lobi sambil menjerit dan melaungkan rasa tersinggung dengan kenyataan yang dibuat oleh Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) terhadap Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).
Karpal yang kerap membangkitkan Peraturan Mesyuarat termasuk isu tidak mengangkat tangan kanan semasa upacara angkat sumpah telah ditempelak oleh Ibrahim yang menurutnya juga tidak mengikut peraturan kerana tidak berdiri ketika bercakap di dalam Dewan.
Pengerusi DAP itu kini terpaksa berkerusi roda selepas tidak boleh berjalan sejak mengalami kemalangan jalan raya pada awal 2005.
Jurucakap MADD, Anthony Thanasayan berkata, golongan OKU terluka dengan kata-kata tersebut kerana Karpal juga seorang OKU.
''Kami bersedia menerima permohonan maaf Ibrahim serta Bung Moktar jika dilakukan secara ikhlas dan jujur, tanpa sebarang syarat," katanya kepada pemberita.
Walaupun menafikan kehadiran mereka ditaja oleh parti politik, sidang akhbar itu dihadiri oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Loh Gwo Burne (PKR-Kelana Jaya) dan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) yang juga anak Karpal.
M. Saravanan (BN-Tapah) bagaimanapun sedikit kesal kerana kumpulan OKU terbabit tidak diberi penjelasan oleh wakil rakyat pembangkang mengenai insiden sebenar yang berlaku di dalam Dewan Rakyat yang diyakininya bukan bermaksud menghina mereka.
Keadaan menjadi tegang apabila Ibrahim dan Bung Moktar keluar dari Dewan Rakyat untuk bertemu dengan Anthony dan wakil OKU yang lain.
Ibrahim menjelaskan kata-kata beliau bukan ditujukan kepada golongan OKU secara am tetapi khusus kepada Karpal yang ketika itu kerap membangkitkan Peraturan Mesyuarat sehingga mengganggu sesi soal jawab.
Beliau menegaskan tidak akan meminta maaf kepada kumpulan OKU tersebut kerana kata-kata itu tidak ditujukan kepada mereka, malah beliau juga enggan meminta maaf kepada Karpal berhubung kejadian itu.
''Saya tidak mahu memohon maaf sebab kata-kata yang dilemparkan kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor kelmarin tidak bermaksud menghina golongon OKU. Ini bukan politik.
''Buat apa saya hendak berbuat demikian sedangkan ia tidak ada kena mengena langsung dengan apa yang mereka mahukan," katanya sambil disahut teriakan beberapa OKU yang mengelilinginya.
Bagaimanapun, Bung Mokhtar yang menyatakan mempunyai ahli keluarga dan pengundi di kawasannya dikategorikan OKU dengan nada memujuk berkata, beliau tidak terlintas untuk menghina golongan itu malah menyayangi dan menganggap mereka sebagai golongan istimewa.
''Saya mohon maaf jika ada melakukan kesalahan hingga menyinggung perasaan OKU dan saya akan pastikan ada pembelaan sekiranya berlaku penganiayaan terhadap anda," katanya.
Beliau bagaimanapun mempertahankan kenyataannya terhadap Karpal dan menganggap ia bukan satu kesalahan ketika ditanya oleh Gobind sama ada beliau mengakui perbuatannya itu salah.
Habis.
INDEPENDENT LIVING & TRAINING CENTRE MALAYSIA - (BADAN LATIHAN & HIDUP BERDIKARI MALAYSIA) LOT NO. 112, KG. SG. DUA TAMBAHAN, JALAN BATU ARANG, MUKIM RAWANG, 48000 RAWANG SELANGOR DARUL EHSAN TEL: 03-6093 6292 TEL/FAX: 03-6091 2531 Email: iltcmalaysia@gmail.com
No comments:
Post a Comment