Rabu 10-3-2010
OKU dikasari nyaris tersungkur
SUBANG JAYA – Gara-gara meletak kenderaan di luar petak parkir, penjaga tandas stesen komuter Subang Jaya dekat sini mendakwa ditendang seorang kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sehingga menyebabkannya hampir tersungkur di atas lantai.
Mangsa, V Karuppannan, 57, yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mendakwa dalam kejadian Khamis lalu anaknya datang untuk berjumpanya di stesen keretapi itu kira-kira jam 1 tengahari.
Katanya, disebabkan terdapat sebuah kereta di petak parkir OKU yang disediakan dia kemudian meminta anaknya meletakkan kereta bersebelahan kenderaan itu.
“Anak saya meletakkan kereta di situ tanpa menghalang laluan jalan untuk sementara waktu sebelum membeli makanan tengahari saya di gerai berdekatan.
“Ketika itu datang seorang kakitangan KTMB yang memarahi dan bertindak menampar saya disebabkan anak meletakkan kenderaan di situ,” katanya yang memaklumkan bagaimanapun berjaya menepis tangan kakitangan itu daripada terkena pipinya.
Menurutnya, dia kemudian menjelaskan kepada kakitangan KTMB itu bahawa anaknya hanya meletakkan kereta di situ dalam tempoh kurang 10 minit untuk ke gerai makan berhampiran.
“Bagaimanapun, kakitangan itu seolah-olah tidak faham dan terus menendang kerusi roda hingga menyebabkan saya hampir terjelopok ke atas lantai berhampiran tandas.
“Saya sempat berpaut pada tiang namun insiden itu menyebabkan pinggang saya masih sakit sehingga hari ini,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya berikutan bimbang dipelakukan lagi seperti itu pada masa hadapan.
Katanya, kejadian itu bukanlah kali pertama berlaku malah dia pernah beberapa kali dimarahi kakitangan berkenaan sejak tiga tahun lalu.
“Individu yang sama itu pernah membuang rak perniagaan kecil-kecilan yang dijalankan saya meskipun aktiviti itu mendapat kebenaran pihak KTMB.
“Saya tidak tahu sama ada dia tidak menyukai saya disebabkan menjaga tandas dan berniaga kecil-kecilan di situ sejak 15 tahun lalu atau ada sebab lain,” katanya lagi ketika turut serta dalam piket secara aman bersama beberapa golongan OKU di depan stesen komuter Subang Jaya, petang semalam.
Dia bagaimanapun berkata, mempunyai hubungan baik dengan kakitangan KTMB lain yang bekerja di stesen itu.
Pengerusi Persatuan Badan Latihan dan Hidup Berdikari (ILTC), Francis Siva yang turut sama dalam piket itu ketika ditemui Sinar Harian berkata, beliau berasa sedih apabila pelakuan itu membabitkan seorang warga emas yang juga golongan OKU.
Katanya, Karuppannan datang membuat aduan kepadanya dan bertanya bagaimana menyelesaikan kemelut yang melanda.
“Dia berasa takut insiden itu akan berulang kerana bukan sekali dua dipelakukan begitu di tempatnya mencari makan.
“Justeru saya menggesa polis menjalankan siasatan bagi melindungi golongan seperti itu supaya tiada lagi OKU akan dianiaya oleh individu tidak bertanggungjawab,” katanya.
Katanya, KTMB juga seharusnya mengambil tindakan sekiranya individu itu didapati bersalah terhadap dakwaan yang dibuat.
“Kalau kakitangannya benar-benar salah, beri hukuman supaya menjadi pengajaran kepada dirinya dan orang lain juga,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat KTM Berhad, Mohd Fazil Ismail ketika mengulas isu itu berkata, pihak pengurusan melahirkan rasa simpati dan memohon maaf di atas insiden yang berlaku kepada mangsa.
Menurutnya, pihaknya melihat perkara itu lebih kepada masalah peribadi antara pengadu dengan individu yang didakwa mengasarinya.
“Bagaimanapun pihak kami akan kakitangan berkenaan untuk sesi penerangan dalam siasatan dijalankan.
“Sekiranya berlaku salah laku seperti didakwa, KTMB tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada kakitangan terbabit,” katanya yang memaklumkan sudah mengenalpasti pekerja yang didakwa mangsa.
Katanya, pihaknya hanya dimaklumkan mengenai perkara itu semalam ketika golongan OKU berkenaan berkumpul di depan stesen komuter terbabit.
“Kita memang tidak ada masalah dengan pengadu (Karuppannan) malah sudah kenal dengannya lebih 10 tahun lalu.
“Oleh itu, saya berharap supaya (KTM) tidak dipandang seolah-olah pihak yang tidak prihatin terhadap OKU kerana masalah itu lebih kepada peribadi dan bukannya membabitkan KTMB secara keseluruhannya,” katanya.
INDEPENDENT LIVING & TRAINING CENTRE MALAYSIA - (BADAN LATIHAN & HIDUP BERDIKARI MALAYSIA) LOT NO. 112, KG. SG. DUA TAMBAHAN, JALAN BATU ARANG, MUKIM RAWANG, 48000 RAWANG SELANGOR DARUL EHSAN TEL: 03-6093 6292 TEL/FAX: 03-6091 2531 Email: iltcmalaysia@gmail.com
No comments:
Post a Comment